Sunday, January 24, 2010

Flora dan Fauna Di Malaysia

Malaysia merupakan salah sebuah daripada dua belas negara di dunia yang dikenali sebagai pusat megadiversiti flora dan fauna berdasarkan kekayaan dan kepelbagaian sumber asli. Flora dan fauna memberikan sumbangan yang besar terhadap nilai kepelbagaian yang tinggi ini. Kepelbagaian tumbuhan di negara ini adalah dianggarkan sebanyak 15,000 spesies tumbuhan bervaskular peringkat tinggi. Bagi kepelbagaian hidupan liar pula, Malaysia mempunyai kira-kira 286 spesies mamalia, lebih daripada 150,000 spesies invertebrata, 1,000 spesies kupu-kupu dan 12,000 spesies rama-rama dan lebih daripada 4,000 spesies ikan laut (www.melur.com.my).

Selain dari tumbuhan bervaskular peringkat tinggi, kesemua bilangan ini hanya merupakan anggaran kasar sahaja kerana sehingga kini masih tiada maklumat terperinci bagi sebilangan besar spesies yang terdapat di Malaysia. Kumpulan flora yang amat kekurangan maklumat tentang kepelbagaiannya adalah tumbuhan peringkat rendah seperti kulat, briofit, liken dan alga. Bagi kumpulan fauna pula, julat kepelbagaian serangga dan herpetofauna adalah tidak diketahui. Sebahagian besar daripada maklumat yang ada sehingga kini adalah tertumpu kepada Semenanjung Malaysia. Di Sabah dan Sarawak pula, terdapat banyak sumber maklumat yang dapat menerangkan tentang fauna seperti serangga dan herpetofauna.

Malaysia mempunyai kekayaan flora yang beraneka serta pelbagai jenis. Sesejenis pokok biasanya tidak terhad kepada sesuatu kawasan kecil sahaja. Tumbuhan ini tidak mengenal sempadan atau kawasan sesebuah negara. Oleh kerana ini, tumbuhan yang wujud di Malaysia boleh didapati juga di kawasan jirannya iaitu Negara Thai Selatan, Indonesia dan Singapura.

Untuk mengekalkan dan menamakan tumbuhan flora ini, pengetahuan tentang ciri-ciri luar bahagian-bahagian pokok tersebut perlu di ketahui. Semua tumbuhan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Satu kumpulan adalah pokok-pokok berbunga seperti rumput, orkid, lantana dan keembong. Kumpulan kedua adalah tumbuhan tidak berbunga seperti pokok paku-pakis, lumut dan kulat.

Pokok berbunga juga boleh dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Satu kumpulan adalah pokok monokot. Kumpulan yang satu lagi adalah pokok dikot. Daun pokok dikot biasanya mempunyai urat yang menjalar, bijinya adalah bersifat dua belah, dan menpunyai akar tunjang (akar besar). Daun pokok monokot biasanya mempunyai urat yang selari, bijinya tidak dapat dibelahkan dan akarnya selari (lebih kurang sama besar). Tumbuhan tidak berbunga boleh dibahagikan kepada empat kumpulan utama seperti paku-pakis, lumut, kulat dan cendawan serta algae dan rumput laut.

Untuk tujuan kajian, tumbuhan juga boleh dibahagikan dengan cara yang kurang saintifik. Oleh kerana itu, tumbuhan flora boleh dibahagikan kepada tumbuhan dikot liar, tumbuhan monokot liar dan tumbuhan dikot taman, serta tumbuhan monokot taman. Tumbuhan-tumbuhan ini boleh juga dibahagikan lagi mengikut saiz dan cara mereka membiak seperti pohon, pohon renik, pokok herba. Antara ciri-ciri utama adalah seperti tumbuhan dikot air, tumbuhan monokot air, tumbuhan memanjat, tumbuhan rumpah dikot, tumbuhan rumpah monokot, tumbuhan ubatan, pokok buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuhan ulam, dan juga tumbuhan tidak berbunga seperti tumbuhan jimnospemae, paku-pakis, kulat, cendawan dan lalin-lain lagi.

Tumbuhan dikot seperti ini merupakan tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh liar di tepi-tepi jalan atau kawasan belukar dan semak kecil. Ia disebut sebagai pulut-pulut kerana ciri buahnya yang akan melekat pada bulu haiwan atau pakaian manusia yang tersentuh padanya. Ini ialah salah satu cara penyebaran pembiakan tumbuhan ini.

Bunga pepulut berwarna merah jambu dan mempunyai lima kelopak dengan satu stigma ditengahnya. Seimbas lalu bunganya seolah-olah berbentuk bunga raya. Bunganya kecil dengan garis rentas berukuran lebih kurang 1.5-3 cm. Ia dikategorikan sebagai tumbuhan renek (sub-shrub) dan bukan tumbuhan semusim. Ia boleh mencapai ketinggian hingga 1-2 m. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan akan menjadi coklat apabila matang. Buahnya mempunyai bulu yang keras dan boleh melekat pada bulu haiwan dan pakaian.Ia mudah membiak melalui biji benih. Walaupun tumbuhan ini dianggap sebagai semak samun dan belukar di Malaysia dan Negara-negara asia, di Brazil ia ditanam di ladang untuk mendapatkan fibernya, yang terhasil dari batangnya. Di Brazil fiber yang terhasil dari batang pepulut dikenali sebagai aramina atau dikenali sebaga congo jute di afrika. Jut ini banyak digunakan sebagai contohnya dijadikan tali dan guni. Dalam perubatan tradisional, daunnya digunakan sebagai penawar untuk sakit perut. Akarnya pula digunakan untuk merawat rheumatik dan lumbago.

Sementara itu, taman-taman di Malaysia terdapat dalam pelbagai beraneka warna serta rupa. Ini disebabkan negara Malaysia kaya dengan pelgabai jenis tumbuhan tempatan. Banyak tumbuhan liar, seperti orkid juga ditanam di kebun-kebun oleh kerana kecantikan dan bunganya tahan lama.

Orkid pinang merupakan sejenis tumbuhan hiasan yang digemari kerana bunganya yang banyak dan sentiasa berbunga. Orkid pinang boleh didapati dalam pelbagai warna bunga seperti merah jambu, merah jambu terang , putih dan kuning. merupakan sejenis tumbuhan berbawang, ia mudah dibiakkan dengan kaedah pecahan rumpun. Ianya di gunakan sebagai tumbuhan hiasan.

Di Malaysia, kebanyakan tumbuhan akuatik berbunga boleh ditemui di dalam kolam, parit, tasik, empangan, sungai, tali air dan sawah padi. Oleh kerana ia dapat membiak dengan cepat dan berupaya untuk tumbuh semula dan mempunyai ketahanan kepada berbagai-bagai keadaan alam sekeliling, sebahagiannya dianggap rumpai.

Kermak ialah sejenis tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh bersama rumput. Struktur tumbuhan hampir menyerupai pokok urang aring dan habitatnya juga sama. Ia boleh tumbuh dikawasan lembab dan agak berair hingga ada yang menganggapnya tumbuhan akuatik. Kermak biasa digunakan untuk mengubat cirit birit, melancarkan pembuangan najis, mengubat penyakit TB(tuberculosis) dan penyakit kuning. Ekstrak atau jus dari tumbuhan ini boleh diminum. Ia juga boleh dijadikan ulam. Sesetengah pendapat mengatakan kermak dapat mencuci lemak dan toksid dari badan jika di makan sebagai ulam

Jelas bahawa flora adalah merupakan unsur penting untuk membentuk ciri-ciri alam semulajadi, menyediakan pelbagai keperluan asas kepada kehidupan haiwan dan juga manusia. Terdapat beberapa banyak contoh struktur tumbuh-tumbuhan dan tingkah laku haiwan yang tidak wujud di zon iklim sederhana, termasuk pertalian ekologi dan fisiologi yang khusus antara tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan persekitarannya pula di hutan tropika di Malaysia.

Tetapi, pembangunan pesat yang berlaku telah mengancam kedudukan dan keadaan semulajadi flora di hutan. Ini telah mengancam kepentingan hutan dari segi ekonomi setempat dan perdagangan sedunia. Jika pemusnahan flora terus berlaku, dua pertiga daripada spesis di hutan hujan tropika akan pupus sebelum kita berjaya menemuinya menjelang 2025.

Sejak kebelakangan ini, usaha telah dijalankan untuk memperkenalkan khazanah flora yang terdapat di bumi Malaysia ini. Ini bagi tatapan generasi akan datang supaya ianya tidak menjadi satu sejarah hanya pada nama sahaja. Warisan yang terdapat di negara ini perlu di pelihara agar ianya terus kekal menjadi khazanah negara yang tiada ternilai harganya.

Rujukan : www.melur.com.my

(tarikh capaian :15 Oktober 2009)

Disediakan Oleh : Khairul Anuar Asri

1 comment: