Sunday, January 24, 2010

ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR MERUPAKAN SATU ISU GLOBAL YANG MEMERLUKAN PENELITIAN BERSAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

PENGENALAN

Jika kita lihat tajuk perbincangan ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan 'memerlukan penelitian bersama' .Berdasarkan kepada isu yang hendak dibincangkan 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa , isu pencemaran yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat antarabangsa . Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara . Jadi langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .

Jika kita meniliti punca-punca masalah alam sekitar, kita mendapati bahawa kebanyakannya disebabkan oleh permintaan manusia terhadap hasil keluaran industri . Ini membawa kepada masalah tekanan terhadap keupayaan bumi membekalkan ruang dan sumber untuk permintaan ini .

Tekanan terhadap alam sekitar terdiri daripada dua bentuk .

  • Pertamanya tekanan daripada permintaan terhadap sumber asli seperti bahan api, air dan juga tanah .
  • Keduanya, ialah sisa industri yang mencemarkan udara dan persekitaran .

Ini menyebabkan berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid .Bila kita fikirkan mengenai pencemaran secara global ini, rasanya terlalu sukar untuk seseorang individu itu memperbaiki keadaan . Kita mungkin tertanya-tanya, apakah tindakan seorang individu itu berupaya untuk memberikan apa-apa kesan ? Namun begitu, kita harus sedar bahawa pencemaran yang serius beginilah sebenarnya berpunca daripada tindakan individu juga . Oleh yang demikian, tindakan individu jugalah yang dapat membantu menyelamatkan bumi kita ini .

Jenis-jenis pencemaran

Terdapat pelbagai cara pencemaran ini boleh berlaku . Tetapi ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu :

  • Pencemaran yang disebabkan oleh faktor Semulajadi

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya .

  • Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia .

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia samada sengaja atau tidak disengajakan . Antaranya adalah:

a. Pencemaran Udara

Contohnya, gas-gas beracun, zarah-zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya .

b . Pencemaran Air

Contohnya, pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya .

c . Pencemaran Tanah

Contohnya, pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia dan sisa-sisa pepejal .

Kesan-kesan Pencemaran

  • Mengancam Kesihatan Manusia

Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas . Di negara kita misalnya penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding tahun 1950an dan 1960an dahulu . Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi .

Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak .

  • Mengancam tumbuhan dan binatang

Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain . Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton .

  • Kerosakan Harta Benda

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi seperti letusan gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya, banyak memberi kesan kepada kerosakan harta benda . Sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda . Ini disebabkan oleh lahar panas yang dikeluarkan oleh gunung tersebut . Antara kerosakan harta benda yang berlaku ialah kemusnahan kediaman penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan yang terlibat .

Langkah-langkah bersepadu penyelesaian alam sekitar

Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi . Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia . Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat .

Pencemaran yang melibatkan beberapa negara seperti pencemaran perairan pantai dan pencemaran udara yang disebabkan oleh jerebu memerlukan penglibatan yang aktif dari negara-negara yang terbabit untuk mendapatkan penyelesaian bersama .

  1. Pencemaran Laut

Malaysia dikelilingi oleh laut di mana terdapat pelbagai aktiviti seperti carigali minyak dan pengangkutan air . Justeru itu Malaysia juga adalah terdedah kepada risiko tumpahan minyak yang besar . Perangkaan menunjukkan bahawa lebih dari 165 pelantar minyak telah menjalankan usaha carigali dan aktiviti pengeluaran di perairan Laut Cina Selatan dan Selat Melaka pula adalah laluan perkapalan yang antaranya paling tersibuk di dunia . Dalam tahun 1995 terdapat lebih kurang 30251 buah kapal yang telah melalui Selat Melaka yang mana hampir 30% adalah merupakan kapal-kapal tangki. (Sumber : Perangkaan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia )

Kini, laut semakin terancam oleh aktiviti manusia yang ghairah mengejar materialistik tanpa menghiraukan implikasi kepada alam sekitar . Pencemaran di Asia Tenggara adalah berpunca daripada pelbagai faktor . Kepelbagaian faktor ini menyebabkan kualiti dan kuantiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada satu vaksin yang mujarap untuk memulihkannya . Langkah dan kerjasama yang diambil oleh negara-negara berpantai di rantau Asia Tenggara .

Terdapat tiga buah negara yang saling berkongsi perairan iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand . Ketiga-tiga negara ini saling terlibat dalam kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama . Malaysia dan Indonesia telah bekerjasama dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan Selat Melaka di bawah kedaulatan kedua-dua negara . Walaupun isu Selat Melaka bersifat rumit namun ia tidak pernah menghalang negara-negara berpantai untuk prihatin terhadapnya .

Apabila berlakunya kejadian tumpahan minyak, langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengawal tumpahan minyak daripada merebak ke kawasan lain . Tumpahan minyak akan cepat merebak melalui tiupan angin dan pengaliran arus air yang deras . Terdapat empat cara yang digunakan untuk mengawal tumpahan minyak iaitu :

    1. Cara mengepung dan mengumpul tumpahan
    2. Menggunakan dispersent dan bahan kimia
    3. Pembersihan pantai
    4. Dibiarkan sahaja

Selain daripada itu, terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil dalam mengawal tumpahan minyak daripada merebak . Antaranya ialah :

    1. Lokasi tumpahan
    2. Kuantiti tumpahan
    3. Jenis tumpahan
    4. Keadaan laut
    5. Keupayaan tindakbalas bahan yang tertumpah

Apabila berlaku kejadian tumpahan minyak, pihak yang bertanggungjawab akan menjalankan operasi pembersihan minyak secara berperingkat-peringkat iaitu peringkat tempatan, peringkat kawasan dan peringkat wilayah .

Seterusnya terdapat juga objektif bagi mewujudkan kawalan tumpahan minyak. Antara objektifnya ialah :

  1. Untuk mengadakan satu sistem tindak balas serta-merta yang diselaraskan bagi menghadapi tumpahan minyak.
  2. Untuk meningkatkan kemampuan dan sumber-sumber yang ada dari segi peralatan serta latihan kakitangan bagi menghadapi kejadian tumpahan minyak.
  3. Untuk mengelakkan kesan buruk ke atas persekitaran dengan cara mengawal aliran minyak.

2. Pencemaran Udara

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan moden telah banyak membawa perubahan dan kebaikkan pada taraf kehidupan masyarakat Malaysia. Sistem jalanraya yang baik, kemudahan sistem penerbangan yang cemerlang, dan adanya pelabuhan yang bertaraf antarabangsa sememangnya telah dapat membawa negara dan rakyat ke era kemajuan dan pemodenan. Kesan negatif yang disebabkan oleh sistem pengangkutan merupakan faktor terbesar yang menyebabkan pencemaran udara. Dianggarkan setiap tahun, lebih kurang 13.6 juta tan gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan kenderaan merosakkan kawasan hutan, tasik dan kehidupan laut. Gas beracun ini juga turut menambahkan kesan rumah hijau serta membahayakan kesihatan manusia sejagat.

3 . Pencemaran Darat

Manusia mengguna dan menyesuaikan diri dengan unsur-unsur alam semulajadi seperti hutan, bahan galian, air, udara, tanah, sumber-sumber laut dan bahan api, mengindahkannya menerusi proses-proses pengeluaran kepada bentuk barangan dan perkhidmatan .

Proses-proses pengeluaran ini berkait rapat dengan sistem ekonomi serta perkembangan dan pertumbuhannya . Sikap memandang sesuatu dari perspektif keuntungan menimbulkan sifat mengeksploitasi alam sekitar tanpa memperkirakan kepupusan sumber-sumber alam semula jadi .

Beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai tragedi hitam, seperti tragedi Pos Dipang di Kampar, Perak, tanah runtuh di Genting Highlands dan beberapa lagi peristiwa yang telah mengorbankan banyak nyawa didapati berpunca daripada kealpaan manusia dalam menjaga alam sekitar , disebabkan terlalu mementingkan keuntungan melalui cara meminimumkan kos ataupun disebabkan kejahilan mereka dalam pengurusan alam sekitar .

  • Langkah penyelesaian

Langkah penyelesaian untuk menghadkan pembalakan di buat oleh semua kerajaan negeri dengan mematuhi kuota pembalakan yang ditetapkan dalam usaha memastikan pengurusan dan pembangunan hutan berkekalan . Pihak kerajaan negeri juga disarankan supaya menanam semula pokok sebagai langkah pemeliharan semula hutan bagi tujuan pembalakan di masa hadapan . Tabung penanaman semula hutan diwujudkan ke arah memastikan semua pihak mematuhi peraturan undang-undang .

KESIMPULAN

Bumi adalah satu-satunya planet yang membolehkan kita dan hidupan lainnya hidup bebas. Bukankah alasan ini sudah cukup untuk kita membelainya dengan perasaan penuh timbang rasa dan kasih sayang? Perasaan hormat harus diberikan kepada semua bentuk hidupan dan persekitaran yang menjadi jiran tetangga kita. Segala tindakan manusia mempunyai kesan yang mendalam terhadap alam sekitar. Perasaan hormat terhadap hidupan lain bermakna menghormati diri kita sendiri. Menjaga kesejahteraan alam sekitar supaya tidak tercemar bermakna menghormati keperluan kita untuk mendapatkan udara dan bekalan air yang bersih.

Secara globalnya masalah pencemaran laut merupakan di antara agenda terpenting yang harus dihadapi oleh negara-negara berpantai. Walaupun pelbagai masalah yang timbul dalam penguatkuasaan pencemaran disektor marin, namun ia tetap dijalankan oleh agensi-agensi maritim yang dipertanggungjawabkan dalam menangani masalah ini. Kerjasama ini bukan hanya terletak pada agensi-agensi yang terbabit tetapi orang-orang awam juga boleh berkerjasama dengan melaporkan segera sebarang kejadian pencemaran laut yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama yang padu di antara agensi-agensi maritim dengan pihak-pihak swasta bagi menaja operasi pembersihan anasir pencemaran di laut amatlah dialu-alukan. Masalah pencemaran laut tidak akan dapat diselesaikan sekiranya tiada kesedaran dalam diri manusia sendiri tentang peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Selain daripada itu, undang-undang yang tertakluk juga harus dikuatkuasakan bagi menjamin masalah yang sama tidak akan berulang lagi.

Disediakan Oleh Norzilawati (122383)

No comments:

Post a Comment